Terperdaya pelaburan saham ‘Hong Kong’, broker rugi RM1.45 juta

Terperdaya pelaburan saham ‘Hong Kong’, broker rugi RM1.45 juta

Wanita itu sedar ditipu apabila tidak berjaya keluarkan wang keuntungan seterusnya selain disekat kumpulan WhatsApp.

POLIS
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata 399 kes berkaitan penipuan pelaburan direkodkan dengan kerugian RM32.9 juta bagi tempoh Januari hingga semalam. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Broker mengalami kerugian RM1.45 juta selepas mendakwa terperdaya pelaburan saham di luar negara pada Mei lalu.

Ketua Polis Johor M Kumar, berkata ketika melayari Facebook, wanita berusia 44 tahun itu terlihat iklan pelaburan ‘stock market’ di Hong Kong dengan nama ‘Pantheon Ventures’ yang menawarkan 100% keuntungan iaitu 25% bagi ejen, manakala 75% kepada pelabur.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dimasukkan ke satu kumpulan WhatsApp ‘V-27 Pantheon Market Insight Academy’ dan diberi penerangan mengenai pelaburan tersebut selain ditawarkan perjalanan percuma ke Hong Kong untuk bertemu dengan pelabur di sana.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan telah melakukan transaksi pembayaran ke beberapa akaun bank tempatan dalam tempoh Jun hingga bulan ini berjumlah kira-kira RM1.5 juta, selain turut memuat turun aplikasi Apex bagi memantau pelaburan berkenaan.

“Setelah bayaran dibuat, mangsa dapati pelaburannya menjana keuntungan seperti dipaparkan oleh aplikasi itu. Dia juga berjaya mengeluarkan sejumlah daripada keuntungan diperoleh dan meninggalkan baki RM1.45 juta bagi meneruskan pelaburan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bagaimanapun, mangsa yang mahu mengeluarkan lagi wang keuntungan miliknya tidak berjaya atas pelbagai alasan termasuk dia mempunyai tunggakan pelaburan serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan, sebelum disekat daripada kumpulan WhatsApp itu.

“Mangsa menyedari telah ditipu sebelum dia membuat laporan polis di Muar semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kumar berkata, sebanyak 399 kes berkaitan penipuan pelaburan direkodkan dengan kerugian berjumlah RM32.9 juta bagi tempoh Januari hingga semalam, berbanding 327 kes dengan kerugian RM26 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.