
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan turut menjurus kepada aliran wang hasil rompakan mencecah RM8 juta.
“Selain mengenal pasti ke mana wang berkenaan disalur atau digunakan tumpuan kita juga pada masa ini adalah mengenal pasti saki baki anggota kumpulan itu,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia hari ini, menurut Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Shuhaily berkata suspek yang dipercayai ahli kumpulan samun itu dikesan masuk ke Malaysia sejak 2017 lagi.
“Kita tidak tahu bagaimana anggota kumpulan itu menyara hidup mereka di negara ini. Itu yang kita nak tahu, adakah dia mempunyai kerja lain, adakah mereka mempunyai bidang kerjaya profesional untuk sara hidup.
“Setakat ini, saya tidak boleh kata wang hasil rompakan dihantar ke negara asal, namun itu kita perlu siasat,” katanya.
Semalam, media melaporkan penjenayah yang disyaki terbabit beberapa kes samun itu ditembak mati di kawasan PJS, Subang Jaya.
Siasatan mendapati kumpulan dianggotai lebih 10 orang itu terlibat dalam 45 kes jenayah sejak 2018 membabitkan kerugian RM8 juta.
Modus operandi kumpulan tersebut adalah mengiklankan khidmat transaksi menerusi media sosial termasuk menjual barang kemas, pertukaran wang asing serta beberapa perniagaan lain.Tags: