
Ismail yang juga ketua Umno Bera berkata perhimpunan tahunan itu boleh menjadi medan signifikan membicarakan kebangkitan dan memperkukuh semula parti dengan menyatupadukan ahli serta saf pimpinan.
“Inilah waktunya untuk mencari strategi yang mantap dan ampuh bagi menghadapi PRU16 khususnya bagi menarik kembali sokongan orang Melayu,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook.
PAU2024 diadakan selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Dianggarkan 2,939 perwakilan akan menghadiri perhimpunan utama manakala 1,171 perwakilan menyertai persidangan Wanita, 1,173 (Pemuda) dan 1,150 (Puteri).
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dijangka merasmikan persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri malam ini, yang akan bersidang keesokannya.
Presiden Umno Zahid Hamidi pula bakal menyampaikan amanat pada perasmian PAU2024, Jumaat ini diikuti persidangan dan perbahasan berlangsung sehingga Sabtu.
Pimpinan parti akan membuat penggulungan sebelum perhimpunan dilabuhkan pada hari sama.
Pada 14 Ogos lalu, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki berkata Umno tidak menjemput pimpinan tertinggi parti dari kerajaan perpaduan menghadiri PAU2024, sebaliknya mengutamakan keluarga besarnya terlebih dahulu.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) menghadiri PAU tahun lalu, 25 tahun selepas dipecat Umno.
Kali terakhir beliau di pentas sama ialah Jun 1998 selaku timbalan presiden Umno, sebelum dipecat tiga bulan kemudian.
PAU 2023 turut dihadiri pimpinan parti dalam kerajaan perpaduan antaranya Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.