Muhyiddin serah SD 115 Ahli Parlimen kepada polis

Muhyiddin serah SD 115 Ahli Parlimen kepada polis

Ia antara dokumen yang diserahkan pengerusi PN itu kepada polis ketika dirakam keterangan berkait ucapan beliau di PRK Nenggiri.

Polis merakam keterangan Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin berkait ucapan beliau di PRK Nenggeri yang didakwa menghina institusi diraja.
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, menyerahkan beberapa dokumen kepada polis selepas disoal siasat mengenai ucapannya semasa kempen PRK Nenggiri.

Ini termasuk akuan berkanun (SD) daripada 115 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri sejurus selepas PRU15 pada 19 Nov 2022, yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Dalam satu kenyataan kepada media, Muhyiddin berkata 114 SD diserahkan kepada Istana Negara pada 21 Nov 2022, sebelum tarikh akhir jam 2 petang yang ditetapkan Istana, manakala satu akuan bersumpah tambahan dihantar pada hari berikutnya.

Beliau juga menyerahkan surat daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Nazim Mohd Alim bertarikh 21 Nov 2022 yang mengesahkan beliau menerima dokumen tersebut.

Bekas perdana menteri itu juga menyerahkan dua surat daripada speaker Dewan Rakyat ketika itu Azhar Harun, bertarikh 20 Nov 2022, yang menyampaikan perintah Agong supaya Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti untuk menghantar SD berkaitan daripada Ahli Parlimen.

“Saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Polis merakam keterangan presiden Bersatu selama kira-kira sejam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkait ucapan beliau ketika berkempen di PRK Nenggiri.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15.

Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa beliau memperoleh majoriti mudah dan mendapat sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Pada Isnin, Muhyiddin mempertahankan ucapannya dengan menyatakan bahawa ia tidak bertujuan untuk menghina institusi diraja atau menghasut orang awam, sebaliknya hanya berdasarkan fakta.

Kenyataan Muhyiddin itu mencetuskan banyak laporan polis yang dibuat terhadap beliau, menggesa tindakan tegas diambil kerana mempersoalkan kuasa raja.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut murka dan terkilan terhadap kenyataan Muhyiddin itu, justeru menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.

Siasatan terhadap Muhyiddin dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman kerana didakwa menyentuh isu sensitif yang melibatkan 3R (kaum, agama, dan raja).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.