Jaga kelapa sawit, tak nak jadi macam getah dan koko, kata Johari

Jaga kelapa sawit, tak nak jadi macam getah dan koko, kata Johari

Johari Abdul Ghani berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi merangka pelbagai strategi untuk memastikan kelestarian pengeluaran produk kelapa sawit tempatan.

Johari Ghani
Johari Abdul Ghani berkata kerajaan enggan nasib kelapa sawit menjadi seperti getah dan koko yang kini terpaksa diimport dalam jumlah besar.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan menjaga hasil pengeluaran kelapa sawit supaya Malaysia terus menjadi pengeksport dan mengelakkannya mengalami kejatuhan seperti komoditi getah serta koko.

Menterinya Johari Abdul Ghani berkata pihaknya merangka pelbagai strategi untuk memastikan kelestarian pengeluaran komoditi terbabit yang kini bernilai lebih RM100 bilion untuk jangka panjang sekali gus memanfaatkan pekebun kecil tempatan.

Menurutnya, pendekatan diambil termasuk memperjuangkan produk kelapa sawit boleh dieksport ke mana-mana negara tanpa ada sekatan.

“Ini kerana kita mematuhi soal alam sekitar, penjagaan buruh, ‘international standard’ (piawaian antarabangsa) dalam keluarkan produk,” katanya berucap pada sesi PenTalk di Pusat Dunia Dagangan (WTC) sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 (PAU2024).

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata KPK turut menekankan kepada aspek kualiti dengan mengutamakan penanaman benih bermutu dan amalan piawaian perladangan baik.

“Kita pastikan ada proses perladangan bagus (untuk) memastikan setiap ladang-ladang gunakan baja (yang baik),” katanya.

Johari berkata kerajaan enggan nasib kelapa sawit menjadi seperti getah di mana Malaysia pernah menjadi pengeluar utama namun kerana pengeluarannya tidak dipantau, status itu bertukar menjadi pengimport terbesar.

“Tiap-tiap tahun kerajaan terpaksa import RM6 bilion getah asli untuk diberikan kepada industri menghasilkan semua produk berasaskan getah,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan pemantauan terhadap ladang getah sedia yang tidak ditoreh menyebabkan pengeluaran getah asli menurun daripada 1.1 juta tan metrik kepada 380,000 tan metrik.

Beliau turut menjelaskan keadaan sama juga berlaku kepada koko yang ketika ini kerajaan mengimport RM7.8 bilion disebabkan pengurangan hasil komoditi itu.

“Koko dahulu banyak syarikat dari luar datang membuat industri makanan yang melibatkan koko kerana kita mengeluarkan 300,000 tan metrik koko, kini berkurangan.

“Tadi getah RM6 bilion, ini koko RM7.8 billion. Kerana apa? Industri berkembang begitu besar, nak perlukan koko, tapi koko tak ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.