Insiden baling botol, silat Sukma berlangsung tanpa penonton

Insiden baling botol, silat Sukma berlangsung tanpa penonton

Pihak penganjur tidak benar kemasukan penonton pada esok dan Jumaat.

Pelayan sistem pemarkahan alami kerosakan menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong tuan rumah, ketika pesilat Sarawak Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan Nurin Alyaa Damia Mohd Masran berentap. (Gambar Bernama)
MIRI:
Susulan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang, saingan acara silat Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akan berlangsung tanpa kehadiran penonton pada esok dan Jumaat.

Ketua delegasi teknikal sukan silat Kamarul Ariffin A Latib, berkata keputusan itu dicapai selepas satu mesyuarat antara pihak berkuasa dan pengurus pasukan yang berlangsung hampir dua jam, petang tadi.

“Untuk keselamatan semua, keputusannya ialah kita tidak akan membenarkan semua penonton atau pasukan untuk hadir menyaksikan sukan silat esok hingga hari akhir 23 Ogos ini.

“Hanya yang mempunyai pas masuk petugas akan dibenarkan seperti pasukan perubatan, petugas media akan dipantau pihak keselamatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat.

Acara Putri kelas 45kg ke bawah antara pesilat Sarawak Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan Nurin Alyaa Damia Mohd Masran petang tadi dicemari insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang.

Beliau berkata, pesilat semua pasukan juga akan diasingkan bagi mengelak insiden tidak diingini berulang.

Kamarul berkata, pihaknya turut mengambil keputusan memberhentikan perlawanan hari ini berikutan pelayan sistem pemarkahan pertandingan mengalami kerosakan dan akan diperbaiki malam ini.

“Apa sahaja perlawanan tergendala tadi akan bersambung esok pagi,” katanya.

Terdahulu, perlawanan antara kedua-dua pesilat menjadi hangat selepas Nurin berjaya mendahului semula pesilat tuan rumah dengan kiraan mata 70 berbalas 65.

Insiden itu difahamkan bersangkut paut dengan sistem pemarkahan dipapar di skrin sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.