
Panel tiga hakim dipengerusikan Harmindar Singh Dhaliwal menyatakan hukuman mati ke atas Koong Swee Kwan wajar kerana dia melepaskan tujuh tembakan dari jarak dekat pada siang hari.
“Pembunuhan berkenaan dirancang dengan niat yang jelas, iaitu untuk memastikan si mati tidak akan selamat daripada tembakan itu,” kata Harmindar, sambil menambah kejadian itu menggemparkan masyarakat.
Beliau berkata, hukuman mati masih wujud dalam undang-undang, dan walaupun mahkamah harus menunjukkan belas kasihan, kes ini bukanlah luar biasa yang membenarkan budi bicara kehakiman untuk mengetepikan hukuman tersebut.
Hakim Rhodzariah Bujang dan Hanipah Farikullah turut bersidang mendengar permohonan itu.
Koong, 55, memohon semakan semula hukuman matinya bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Hukuman Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Akta itu membenarkan panel semakan mahkamah menggantikan hukuman mati dengan penjara antara 30 hingga 40 tahun dalam kes pembunuhan. Lelaki bawah usia 50 tahun juga mungkin dikenakan minimum 12 sebatan.
Dia disabitkan kesalahan menembak mati Najadi di tempat letak kereta Kuil Kuan Yin berhampiran Lorong Ceylon, Kuala Lumpur, antara 1.30 tengah hari hingga 2 petang pada 29 Julai 2013.
Tiga tahun lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya, menyatakan bahawa hakim perbicaraan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap pembelaannya.
Panel ketika itu, yang dipengerusikan oleh Hakim Rohana Yusof, berkata terdapat bukti kukuh untuk membuktikan kesalahan, sementara pembelaan Koong hanya penafian semata-mata dan direka-reka.
Hakim Abdul Rahman Sebli dan Hasnah Hashim yang turut bersidang, turut mengesahkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong kerana atas kesalahan cubaan membunuh isteri Najadi, Cheong Mei Kuen.
Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, berhujah kes itu bukan kejadian paling jarang, dan Koong menyesal dengan perbuatannya.
“Dia tiada rekod jenayah sebelum ini dan tidak mendapat manfaat daripada jenayah itu,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim berkata ia adalah pembunuhan kejam walaupun Koong tidak mengenali Najadi dan isterinya.
“Dia adalah pembunuh upahan walaupun tiada bukti yang dikemukakan mengenai motif tembakan tersebut. Koong melarikan diri dari tempat kejadian dengan teksi yang sedang menunggu,” katanya ketika berhujah meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati.