Dr M suruh Zahid bubar, tak pernah berhasrat haram Umno

Dr M suruh Zahid bubar, tak pernah berhasrat haram Umno

Pejabat bekas perdana menteri berkata Dr Mahathir Mohamad hanya menyuruh Zahid Hamidi membubarkan Umno kerana tidak lagi mewakili orang Melayu.

Zahid Hamidi sebelum ini secara terbuka mengaku beliau dalang utama menyebabkan Dr Mahathir Mohamad berundur sebagai perdana menteri.
PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menafikan tuduhan Presiden Umno Zahid Hamidi bahawa bekas perdana menteri mahu mengharamkan parti itu.

Pejabat bekas perdana menteri dalam kenyataan berkata tuduhan Zahid tidak benar sama sekali.

Katanya, jika Mahathir berhasrat mengharamkan Umno, beliau sebagai perdana menteri boleh mengarahkan menteri dalam negeri melakukannya serta-merta.

“Bagaimanapun, selama lebih dua tahun Mahathir menjadi perdana menteri, Umno terus kekal,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Mahathir menyuruh Zahid membubarkan Umno kerana parti itu kalah pada PRU14 dan tidak lagi mewakili orang Melayu.

Katanya, pemimpin parti itu juga terkait dengan rasuah dan sudah tidak berjuang demi agama, bangsa dan tanah air seperti tujuan asal Umno ditubuhkan.

Menurutnya, pembubaran dicadangkan Mahathir terletak di bahu Zahid dan kepimpinan Umno jika mereka menyedari parti itu telah terpesong daripada perjuangannya.

Sebelum ini, Zahid secara terbuka mengaku beliau antara dalang utama terbabit menggulingkan Mahathir sebagai perdana menteri.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, tindakan luar biasa tersebut penting untuk menentang Mahathir yang didakwanya ketika itu mahu membatalkan pendaftaran Umno.

Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari 2020, sekali gus menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan, dalam gerakan dikenali sebagai Langkah Sheraton.

Susulan itu kerajaan baharu ditubuhkan oleh Bersatu, Barisan Nasional dan sekumpulan ahli PKR diketuai Azmin Ali. Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri selepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.