
Jurucakap kerajaan berkata, Muhyiddin antara punca berlaku banyak kontroversi membabitkan pihak istana sehingga mendatangkan rasa panik dalam kalangan pemimpin Bersatu.
“Saya lihat keadaan ini tidak baik bagi Bersatu, sudah jatuh ditimpa tangga, sudahlah kalah PRK Nenggiri, kini (presiden) disiasat polis.
“Saya rasakan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (ketua Pemuda Bersatu) mungkin berasa panik sebab sekali lagi presiden Bersatu menjadi punca banyak kontroversi,” katanya dalam sidang media.
Fahmi mengulas tindakan Wan Fayhsal membuat laporan polis mendakwa sebuah saluran YouTube milik PKR menyunting sebelum menularkan ucapan kontroversi Muhyiddin dalam kempen di Nenggiri.
Dalam ucapannya, Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk menjadi perdana menteri pasca PRU15 walaupun mempunyai sokongan majoriti mudah Ahli Parlimen.
Hari ini polis merakam keterangan Muhyiddin kira-kira sejam di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkait ucapannya.
Mengulas lanjut, Fahmi, mengingatkan Wan Fayhsal dan pemimpin Bersatu berhenti menyalahkan pihak lain kerana rakaman ucapan Muhyiddin disiarkan melalui saluran media milik pembangkang.
“Apabila dia (pemimpin Bersatu) dah panik dengan kenyataan yang dibuat, maka dia cuba salahkan mana-mana pihak.
“Saya sendiri menyaksikan ucapan mantan PM dalam TikTok live, kalau tak silap saya, yang menyiarkan live itu ialah saluran PAS. Jadi kalau nak salahkan mana-mana pihak, salahkan organisasi media PAS yang menyiarkan ucapan tersebut,” katanya.