Anak suspek kes bunuh 3 beranak dijaga JKM sementara

Anak suspek kes bunuh 3 beranak dijaga JKM sementara

Exco Kedah, Halimaton Shaadiah Saad tidak menolak kemungkinan kanak-kanak lima tahun itu mengalami trauma.

Exco Kedah, Halimaton Shaadiah Saad, berkata kanak-kanak lelaki itu sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak warga Myanmar lima tahun yang juga anak suspek kes bunuh isteri serta dua anaknya akan ditempatkan di lokasi selamat bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah.

Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Perpaduan negeri, Halimaton Shaadiah Saad, berkata kanak-kanak lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut petang semalam.

Berdasarkan keadaan kanak-kanak itu, beliau tidak menolak kemungkinan mangsa mengalami trauma.

“Dia seperti berada dalam dunia sendiri dan tidak seperti kanak-kanak tempatan di kampung yang akan murung jika mengalami nasib seperti ini.

“Nampak tadi kita bagi barang mainan padanya dan dia mahu bermain, malah apabila kita tanya apa pun dia mahu jawab. Dia beritahu bapa dia (suspek) sangat sayang padanya, mungkin sebab itu dia tidak diapa-apakan pada hari kejadian.

“Namun, JKM bersedia memberi khidmat kaunseling kepadanya supaya dia dapat melupakan apa yang berlaku,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Alor Setar.

Mayat seorang wanita warga asing berusia 43 tahun dan anak perempuannya 10 tahun ditemui dengan kesan kelar di leher dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar dekat Pekan Simpang Kuala pada 5 petang Isnin lalu.

Susulan itu, seorang lelaki 43 tahun yang juga suami dan bapa mangsa ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang pada 9 malam hari sama.

Polis kemudian menyiasat penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan dua tahun di Pantai Leman, Kuala Kedah, semalam yang dipercayai anak bongsu suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.