Tawar 190MW kuota tarif galakan baharu secara tender terbuka, kata Fadillah

Tawar 190MW kuota tarif galakan baharu secara tender terbuka, kata Fadillah

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, langkah itu penting bagi merancakkan usaha peralihan tenaga sektor bekalan elektrik.

Fadillah Yusof pada sidang media selepas merasmikan International Sustainable Energy Summit (ISES) Ke-6 di Kuala Lumpur Convention Centre.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan melaksanakan pembukaan tawaran kuota tarif galakan baharu berjumlah 190 megawat (MW) bagi pembangunan sumber biogas, biojisim dan penjanaan kuasa hidro kecil, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata usaha itu dibuat bagi merancakkan lagi pertumbuhan serta usaha peralihan tenaga sektor bekalan elektrik.

Menurutnya, tawaran itu akan dilaksanakan secara tender terbuka sebagaimana yang dilakukan program solar berskala besar (LSS) 1 hingga 5 sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerajaan juga akan melakukan inisiatif beralih secara sistematik daripada model pembeli tunggal kepada model pasaran bagi mengurangkan tanggungan risiko sistem pembekalan elektrik negara.

“Kita akan mempunyai akses dari pihak ketiga. Harap pelabur swasta boleh menjadi pembekal kuasa dan kemudian menjual terus kepada sesiapa yang ingin beli menjelang September.

“Tak perlu lagi melalui pembeli tunggal. Maka akan lebih berdaya saing,” katanya selepas merasmikan International Sustainable Energy Summit (ISES) Ke-6 di Kuala Lumpur Convention Centre.

Tambahnya, undang-undang tertentu dan insentif turut disediakan kepada pihak terbabit.

Mengulas lanjut, katanya, semua pemain industri dan pemegang taruh akan dijemput ke sesi libat urus pada 22 Ogos ini bagi memuktamadkan segala skema pelaksanaan, termasuk juga jumlah caj yang mungkin dikenakan.

Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya berkata kajian kluster biotenaga akan dilakukan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bagi membenarkan perolehan tenaga elektrik hijau daripada sumber bukan solar menerusi program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.