Siasat video di saluran PKR mengenai ucapan Muhyiddin, gesa ahli Bersatu

Siasat video di saluran PKR mengenai ucapan Muhyiddin, gesa ahli Bersatu

Akmal Zahin Zainal mendakwa video itu mengandungi rakaman yang 'disunting' berniat hasut dan cetus ketegangan.

Wan Ahmad Fahysal
Ketua Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di luar balai polis Dang Wangi selepas membuat dua laporan hari ini.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Pemuda Bersatu menggesa pihak berkuasa agar menyiasat video di saluran YouTube Suara Keadilan yang menurutnya mengandungi ucapan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin ketika kempen PRK Nenggiri yang telah disunting.

Akmal Zahin Zainal yang juga pengarah pilihan raya Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendakwa, video di saluran lidah PKR itu dimuat naik dengan gambar Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Katanya, video itu tidak menunjukkan ucapan penuh Muhyiddin justeru diambil di luar konteks.

Akmal Zahin, yang memfailkan laporan di balai polis Dang Wangi hari ini berkata, tajuk video itu, digabungkan dengan petikan ucapan Muhyiddin dan gambar Sultan Abdullah, menimbulkan tanggapan palsu tentang ucapan Muhyiddin.

Beliau juga mendakwa, video itu bertujuan menghasut orang ramai dan mencetuskan ketegangan.

Video itu dengan sengaja disunting untuk memanipulasi dan memainkan naratif politik, tambahnya.

Semakan oleh FMT mendapati video itu tidak lagi boleh ditonton.

Kandungan dan tajuk video itu telah diolah, disunting dan diterbitkan dengan niat jahat, dikongsi di media sosial untuk memperdaya orang ramai agar mempercayai bahawa Muhyddin menentang Sultan Abdullah, katanya.

Dalam ucapan yang menimbulkan kontroversi itu, Muhyiddin mempersoalkan mengapa Sultan Abdullah tidak memintanya menjadi perdana menteri selepas PRU 2022.

Pengerusi PN itu berkata, beliau telah memperoleh majoriti dan mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, beberapa laporan polis dibuat terhadapnya, manakala Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menegur Muhyiddin sengaja memperlekehkan bekas Agong itu.

Berdepan siasatan polis, Muhyiddin semalam mempertahankan ucapannya dengan berkata, ia ‘kenyataan fakta’, bukan bermaksud untuk ‘menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut’.

‘Siasat akaun media sosial menyamar lidah PAS’

Akmal Zahin turut membuat laporan berasingan terhadap pemilik dan pengendali sebuah akaun media sosial kerana menyamar sebagai lidah PAS, Harakahdaily.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan notis undang-undang kepada X bagi memastikan platform tersebut mengambil tindakan terhadap akaun tersebut kerana menyamar sebagai entiti yang sah dan kerap menyiarkan kandungan berunsur fitnah, palsu dan menyinggung perasaan.

Katanya, beliau terlihat satu hantaran akaun itu yang memaparkan gambar dirinya, Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan seorang lagi pemimpin Pemuda PN.

Beliau berkata, kapsyen bersama gambar itu menyatakan PN akan menolak Belanjawan 2025 sekiranya menang pada PRK Nenggiri, yang mungkin menjejaskan kenaikan gaji penjawat awam.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penjawat awam akan mendapat kenaikan gaji antara 7% dan 15% bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu.

Akmal Zahin berkata, hantaran itu berunsur fitnah dan boleh mencetuskan kemarahan golongan tertentu, khususnya penjawat awam, yang berpotensi membahayakan keselamatan individu yang dipaparkan dalam hantaran itu.

Menurutnya, hantaran itu dilihat sebagai percubaan mewujudkan persepsi negatif dan merosakkan reputasi PN.

“Akaun media sosial palsu ini sebelum ini telah membuat pelbagai hantaran berunsur fitnah, menyinggung perasaan dan berniat jahat,” katanya.

“Hantaran itu jelas menghasut dan cuba memperdaya pengundi supaya tidak menyokong PN/PAS pada PRK Nenggiri.”

Pada PRK Nenggiri Sabtu lepas, calon Barisan Nasional (BN) Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh majoriti 3,352 mengatasi calon PN Rizwadi Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.