Piala Sultan Selangor semarak persaudaraan di sebalik perseteruan

Piala Sultan Selangor semarak persaudaraan di sebalik perseteruan

Kejohanan Piala Sultan Selangor dianjurkan bagi meraikan dan mengimbau kehebatan perseteruan tradisi antara Selangor FA dan Singapura FA.

Pejabat Sultan Selangor berharap simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Penganjuran kejohanan Piala Sultan Selangor bertujuan mempererat persaudaraan antara Selangor FA dan Singapura FA, dua pasukan berseteru yang mewarnai arena bola sepak tempatan suatu ketika dahulu.

Pejabat Sultan Selangor berkongsi di Facebook bahawa idea penganjuran kejohanan itu dicetuskan sendiri oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001, iaitu tahun yang sama baginda ditabalkan sebagai Sultan Selangor.

Selangor dan Singapura merupakan pasukan yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia ketika itu, sejak Piala Malaysia yang sebelumnya dikenali sebagai Piala Malaya dan kemudian Piala HMS Malaya diperkenalkan pada 1921.

Kedua-dua pasukan bertemu sebanyak 23 kali dalam perlawanan akhir.

“Dalam tempoh itu, Selangor menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada 2015, manakala Singapura dengan 22 kejuaraan sehinggalah pasukan itu menarik diri dari Liga Malaysia pada 1994,” menurut catatan itu.

Catatan itu menyatakan pertembungan di antara Selangor dan Singapura juga sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai ‘Malayan El Clàsico’, dengan kedua-dua ‘musuh tradisi’ itu sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati.

Bagi meraikan dan mengimbau kehebatan perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura, kejohanan Piala Sultan Selangor mula dianjurkan pada 2001 dan diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau National Stadium Singapura dengan kali terakhir ia dilangsungkan ialah pada 2019, sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura, selain diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan veteran Selangor bertemu veteran Singapura.

Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018, dan 2019.

Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016, dan 2017.

Pada 2004, kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu.

Edisi ke-18 Piala Sultan Selangor yang diadakan pada 17 Ogos lepas dilangsungkan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka, yang menyaksikan Pilihan Selangor muncul juara.

Saingan itu, katanya, menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi pemain dan penyokong kedua-dua pasukan yang amat teruja dengan penganjuran semula kejohanan itu yang disifatkan sebagai satu platform mengimbau nostalgia ‘permusuhan tradisi’ antara kedua-dua pasukan.

“Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

“Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor antara acara dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia,” menurut catatan itu.

Pejabat Sultan Selangor berharap penjelasannya dapat memberi fakta tepat dan manfaat pengetahuan lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah Piala Sultan Selangor.

Apa yang ingin ditekankan juga, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor ini dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.