
Susulan itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali membatalkan rayuan berkenaan.
“Setelah mendengar hujahan peguam dan alasan untuk menarik balik rayuan dan tiada bantahan daripada timbalan pendakwa raya, rayuan perayu dibatalkan.
“Namun begitu, isu mengenai pengguguran hakim boleh dibangkitkan dalam rayuan utama, jika perlu,” kata Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azman Abdullah.
Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memberitahu mahkamah, beliau mendapat arahan daripada anak guamnya untuk menarik balik rayuan hari ini.
“Hal ini kerana peguam kanan 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan selesai memberi keterangan selama 10 hari pada perbicaraan kes 1MDB.
“Oleh itu, kami menarik rayuan tanpa menjejaskan hak kami untuk membangkitkan isu berkenaan (untuk menggugurkan Sequerah) dalam rayuan utama, sekiranya ada,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Kamal Bahrin Omar berkata, pihaknya tiada bantahan dan bersetuju dengan syarat dinyatakan peguam.
Najib merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Ogos 2023 yang menolak permohonannya menggugurkan Sequerah daripada mendengar kes perbicaraannya, selepas hakim itu mendedahkan beliau dan Loo pernah berkhidmat bersama di sebuah firma guaman.
Ketika menolak permohonan Najib, Sequerah yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, sejak Loo meninggalkan firma itu pada Disember 2008, beliau tidak pernah berkomunikasi dengan Loo, sama ada secara profesional atau peribadi.
Loo saksi pendakwaan ke-50 dalam perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib dan kes itu kini di peringkat hujahan selepas semua 50 saksi pendakwaan selesai memberi keterangan.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.