Gaji penjawat awam Selangor naik ikut pengumuman PM, kata Amirudin

Gaji penjawat awam Selangor naik ikut pengumuman PM, kata Amirudin

Gaji kakitangan awam negeri dijangka naik 15% bagi kumpulan pelaksana dan profesional dan tujuh peratus bagi pengurusan tertinggi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata kadar dan kaedah kenaikan gaji penjawat awam negeri adalah sama seperti dinikmati kakitangan awam persekutuan. (Gambar Bernama)
SABAK BERNAM:
Pelaksanaan pelarasan gaji lebih 21,000 penjawat awam Selangor akan dilaksanakan secara berfasa seperti pengumuman dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos.

Menteri Besar Amirudin Shari, berkata kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam negeri itu juga turut dibuat sama seperti dilaksanakan peringkat persekutuan.

“Kadar dan kaedah (baharu kenaikan gaji penjawat awam Selangor) sama seperti yang diumumkan oleh perdana menteri dan kita akan ikut kaedah persekutuan. Kenaikan itu (dikuatkuasakan) pada Disember ini.

“Kita sedang kira impak, tapi telah bersedia dengan kemungkinan (peningkatan) perbelanjaan. Kerajaan negeri juga (sedang meneliti) peruntukan tambahan yang diperlukan untuk membiayai peningkatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Selangor 2025 (Penggantian).

Perdana menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA) 2024 sebelum ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai kumpulan pelaksana, dan kumpulan pengurusan dan profesional.

Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi (KPT).

Perdana menteri berkata, pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi fasa 1 dan 1 Jan 2026 untuk fasa 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.