Mayat dalam longkang: Polis tahan warga asing disyaki bunuh isteri, anak

Mayat dalam longkang: Polis tahan warga asing disyaki bunuh isteri, anak

Polis berkata, terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa yang dipercayai warga asing itu.

2mayat dalam longkang
Orang awam menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar dekat Pekan Simpang Kuala semalam. (Gambar PDRM)
ALOR SETAR:
Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki membunuh isteri dan anak perempuannya, selepas mayat mereka ditemui dalam longkang belakang sebuah bangunan terbiar dekat Pekan Simpang Kuala di sini, semalam.

Ketua Polis Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang wanita oleh orang awam pada 5.04 petang.

“Siasatan mendapati kedua-dua mangsa yang berusia 10 dan 34 tahun lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui tertiarap dan terlentang berdekatan satu sama lain dalam longkang kecil.

“Terdapat kesan kelar pada leher kedua-dua mangsa yang dipercayai warga asing itu…mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, risikan pantas pihaknya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing 34 tahun yang juga suami dan bapa kepada kedua-dua mangsa.

Menurutnya, suspek ditahan di Masjid Bukit Pinang pada 9 malam Isnin dan akan dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

“Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh tampil memberi keterangan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Setar, Faizul Izuan Harun menerusi talian 04-7747222.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.