
PETALING JAYA: Mayat dua wanita dengan kesan kecederaan ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar.
Identiti mayat berpakaian lengkap itu belum dikenal pasti namun dipercayai mempunyai pertalian keluarga.
Harian Metro melaporkan Unit Forensik dari IPK Kedah dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut selepas siasatan polis selesai pada 8.50 malam.
Ketua Polis Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad, mengesahkan penemuan itu dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dalam masa terdekat.