Lelaki pandu lawan arus beri alasan tak tahu jalan

Lelaki pandu lawan arus beri alasan tak tahu jalan

Lelaki terbabit dipanggil polis selepas rakaman videonya memandu melawan arus di George Town tular di media sosial.

Saman turut dikeluarkan terhadap pemandu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Ketua Polis Timur Laut Razlam Ab Hamid. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Polis mengesahkan telah memanggil seorang lelaki selepas rakaman videonya yang memandu melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini, tular di media sosial.

Ketua Polis Timur Laut, Razlam Ab Hamid, berkata video berdurasi 39 saat yang dirakam daripada kamera papan pemuka kenderaan itu telah dimuat naik di aplikasi X dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4.48 petang Sabtu lepas.

“Susulan itu, pemandu kenderaan terbabit yang berusia 20-an telah dipanggil semalam untuk direkodkan keterangannya bagi tujuan siasatan

“Berdasarkan keterangan lelaki itu mendakwa dia dari Seberang Perai Selatan (SPS) dan tidak tahu selok belok jalan di George Town. Dia juga memberitahu hendak cepat ke hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Razlam berkata saman turut dikeluarkan terhadap lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.