KM Sabah mahu guru agama peroleh tauliah, kawal agenda menyimpang

KM Sabah mahu guru agama peroleh tauliah, kawal agenda menyimpang

Guru agama perlu tauliah bagi memastikan penyampaian berkualiti, bagi menjaga keharmonian daripada anasir tidak baik.

Ketua Menteri Hajiji Noor seru semua pihak mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat. (Gambar Wikipedia)
KOTA KINABALU:
Guru-guru agama di Sabah perlu memperolehi tauliah mengajar yang dikeluarkan Majlis Ugama Islam Sabah bagi memastikan penyampaian memenuhi kualiti.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata ini bagi memastikan agenda yang menyimpang dapat dikawal selain menjaga keharmonian hubungan kaum dalam masyarakat daripada anasir tidak baik.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab setiap guru agama untuk memahami, menghayati, dan mendidik masyarakat untuk terus celik ilmu agama supaya amalan seharian masyarakat berpandukan syariat Islam.

“Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar. Oleh itu, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.

“Keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan dapat direalisasikan,” katanya pada majlis perasmian program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ (JMUU) Peringkat Sabah 2024.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji juga meminta supaya semua pihak dapat mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.