
Laporan polis itu dibuat Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang Amir Syaffiq Hamzah di IPD Kuantan pada malam tadi, lapor Harian Metro.
Amir berkata kenyataan Muhyiddin itu bersifat sinis serta memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri.
“Sedangkan jelas baginda membuat pelantikan perdana menteri dengan sangat teliti mengikut perlembagaan.
“Kenyataan yang Muhyiddin keluarkan ini adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu serta memecah-belahkan rakyat,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Katanya, kenyataan Muhyiddin itu juga bersifat fitnah dan menghasut serta menjejaskan nama baik Al-Sultan Abdullah serta Istana Pahang sendiri.
Terdahulu hari ini, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah melahirkan rasa murka terhadap kenyataan Muhyiddin itu dan menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.
Baginda juga menasihatkan semua ahli politik sentiasa berpegang teguh pada prinsip Rukun Negara dan terus-menerus menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju.
Baru-baru ini, tular ucapan Muhyiddin ketika kempen PRK Nenggiri yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Abdullah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam isu pelantikan perdana menteri.
Muhyiddin dijangka memberi keterangan kepada polis esok susulan ucapannya yang didakwa menyentuh isu 3R.