Hadkan gaji tak hapus kuasa jawatan tinggi, kata kumpulan antirasuah

Hadkan gaji tak hapus kuasa jawatan tinggi, kata kumpulan antirasuah

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme berkata, cadangan melaksanakan had gaji ke atas ketua badan berkanun tidak akan menyelesaikan rasuah dalam agensi kerajaan.

CEO C4, Pushpan Murugiah (kiri) dan aktivis antirasuah, Edmund Terence Gomez berkata, lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani rasuah dalam agensi kerajaan.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pemantau antirasuah berkata, gesaan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk melaksanakan had ke atas gaji ketua badan berkanun persekutuan tidak dapat menangani rasuah dalam organisasi itu.

Pushpan Murugiah, CEO Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) memberitahu FMT, had gaji boleh mengurangkan nilai jawatan berpangkat tinggi sebagai platform memperkayakan diri serta membantu menghentikan amalan pelantikan politik dan pembiayaan politik berleluasa.

Tetapi, katanya, jawatan berkuasa tinggi sedemikian akan kekal menjadi idaman kerana individu dilantik memiliki kawalan ke atas keputusan kewangan syarikat itu.

Beliau berkata, jawatan sedemikian boleh melobi kontrak kerajaan, yang hasilnya masih boleh disalurkan kepada syarikat dimiliki ahli politik atau ahli keluarga mereka.

Menurutnya, lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani rasuah pada akarnya, seperti memperkenalkan undang-undang pembiayaan politik bagi mengawal pendapatan dan perbelanjaan semua parti politik secara telus.

Pada 12 Ogos lalu, Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin mencadangkan kerajaan menetapkan garis siling bagi gaji ketua eksekutif atau pengarah urusan badan berkanun persekutuan supaya tidak keterlaluan.

Aktivis antirasuah, Edmund Terence Gomez pula berkata gesaan itu sebagai reaksi kepada perbincangan baru-baru ini berhubung penggunaan dana oleh Mara Inc dan Felcra.

Laporan terbaharu ketua audit negara menunjukkan Felcra berhutang kepada kerajaan sebanyak RM3.67 bilion pada akhir 2021, manakala Mara Inc pula mengalami kerugian RM286.3 juta sejak penubuhannya pada 2014.

Gomez berkata, PAC sepatutnya lebih memfokuskan dakwaan rasuah membabitkan badan berkanun persekutuan, bukannya gaji CEO dan pengarah urusannya, selain isu lebih besar iaitu pelantikan individu menerajui badan berkanun persekutuan.

“PAC sepatutnya memfokuskan faktor menyumbang kepada rasuah yang kita lihat bukan saja dalam badan ini, tetapi semua badan berkanun pada masa lalu,” katanya kepada FMT.

Pada 9 Ogos lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan ketua audit negara perlu lebih tegas dengan semua agensi serta badan berkanun persekutuan untuk mengelakkan pelanggaran tadbir urus dan rasuah.

Katanya, kerajaan juga akan meneliti kemungkinan menyediakan peruntukan tambahan bagi memperluaskan mekanisme pemantauan audit kepada pihak berkuasa persekutuan, negeri dan tempatan untuk memastikan operasi agensi kerajaan atau badan berkanun lebih telus dalam mengelak rasuah serta tindakan mengaut keuntungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.