Cadang wajib pelajar jalani ujian HIV, KPT teliti semua aspek

Cadang wajib pelajar jalani ujian HIV, KPT teliti semua aspek

Timbalan Menteri Mustapha Sakmud berkata semua aspek termasuk hak asasi manusia diteliti sebelum pihaknya memuktamadkan keputusan.

university
Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Nazirah Abdullah sebelum ini mencadangkan supaya pelajar baharu universiti diwajibkan menjalani ujian HIV.
SHAH ALAM:
Semua aspek termasuk hak asasi manusia akan diambil kira sebelum kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemeriksaan HIV di kalangan pelajar baharu universiti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud berkata perbincangan mengenai cadangann itu masih berjalan dan keputusan muktamad akan diumumkan Menteri Zambry Abdul Kadir.

“Kami sudah bincang perkara itu dan sedang pertimbangkan.

“Akan teliti semua aspek sebelum sebarang keputusan dibuat. Menteri (Zambry) akan umumkan apa tindakan selanjutnya,” katanya selepas Persidangan Antarabangsa Inovasi dan Keusahawanan dalam Pendidikan Pengkomputeran, Kejuruteraan, dan Sains (InvENT) hari ini.

Bulan lalu, FMT melaporkan gesaan sebuah kesatuan pelajar untuk mewajibkan ujian HIV terhadap pelajar baharu bagi mengekang peningkatan kes membabitkan golongan itu.

Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Nazirah Abdullah berkata ketika ini penularan kes itu gagal ditangani di peringkat kampus kerana kekurangan usaha merangka dasar dan pelaksanaan program kesedaran kepada pelajar.

Zambry sebelum ini memberitahu Dewan Rakyat, data Kementerian Kesihatan menunjukkan seramai 214 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dijangkiti HIV pada 2020, diikuti sedikit penurunan sebanyak 186 kes pada 2021.

Bagaimanapun, jumlah itu kembali meningkat kepada 221 kes pada 2022 dan 244 (2023).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.