
Pengerusi Charles Santiago memberitahu FMT, perkara itu terbongkar selepas lawatan tapak ke kilang dikaitkan kejadian berkenaan, apabila SPAN menjalankan inkuiri tiga hari.
SPAN sedang berusaha menghimpunkan semua pihak dan agensi kerajaan berkaitan untuk mengetahui apa berlaku dalam kejadian itu.
“Ini bagi memastikan ia tidak berlaku lagi. Tambahan pula, lawatan hari ini mendedahkan bahawa undang-undang dan peraturan tidak dipatuhi.”
Santiago bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut, dan menambah SPAN akan menerbitkan laporan penuh mengenai pencemaran itu minggu depan.
Empat loji rawatan air dihenti tugas sementara pada 23 Julai lalu, apabila pencemaran bau dikesan di Sungai Kundang dan Sungai Sembah.
Ia menyebabkan banyak kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air tidak berjadual.