PM sifat kemenangan BN di Nenggiri mengejutkan

PM sifat kemenangan BN di Nenggiri mengejutkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kejayaan di kubu PAS dan Bersatu di Kelantan bukti rakyat tolak politik cercaan dan fitnah.

Anwar Ibrahim berkata, kemenangan BN itu beri semangat baru kepada Umno, PH, dan rakan dalam kerajaan perpaduan untuk kerja lebih kuat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Nenggiri membuktikan bahawa rakyat menolak budaya politik yang penuh dengan cercaan dan fitnah.

Menyifatkan keputusan PRK Nenggiri sebagai mengejutkan, Anwar berkata rakyat melihat kemampuan Umno untuk mendapatkan sokongan daripada masyarakat Melayu dan Orang Asli di kubu PAS dan Bersatu di Kelantan.

“Dijangka sukar laluannya bagi calon Umno dan kerajaan perpaduan, tetapi keputusan ini mengejutkan. Ini menunjukkan rakyat menolak politik maki hamun, cerca, dan fitnah.

“Ini (kemenangan) akan memberikan semangat baru kepada Umno, BN, Pakatan Harapan, dan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan untuk bekerja lebih kuat, yakin dengan pendirian kita.

“Insya-Allah, lambat-laun rakyat termasuk orang Melayu akan menerima kenyataan perubahan itu akan memberi manfaat kepada mereka dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menjadi hos majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah.

Anwar turut merakam ucapan tahniah kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang berjaya merampas semula kerusi Nenggiri dengan kemenangan majoriti besar 3,352 undi.

Ketua Pemuda Umno Kelantan itu memperoleh 9,091 undi, menewaskan Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN), dengan meraih 5,739 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.