Pelarasan gaji kurangkan trend guru bersara awal, kata NUTP

Pelarasan gaji kurangkan trend guru bersara awal, kata NUTP

Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata pengumuman itu merupakan satu hadiah bermakna yang sangat besar buat guru.

sekolah rendah
Presiden NUTP Aminuddin Awang berkata kenaikan gaji akan mendorong guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah diberikan kerajaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih baik dijangka dapat mengurangkan trend guru bersara awal pada masa kini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang berkata pengumuman itu merupakan satu hadiah bermakna yang sangat besar buat guru yang kini berdepan dengan cabaran besar dalam mendidik anak bangsa serta cabaran kos sara hidup.

“Guru kini bukan sahaja menikmati kenaikan gaji tahunan (KGT), tetapi dengan pelarasan gaji ini, tambahan kenaikan gaji turut diberikan.

“Selepas 12 tahun tanpa semakan, pelaksanaan SSPA bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) adalah satu hadiah yang sangat bermakna buat para guru.

“Saya percaya langkah ini juga dapat mengurangkan trend guru bersara awal, dan mendorong guru memberikan perkhidmatan terbaik sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah diberikan kerajaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata pelarasan yang akan dibuat secara berfasa ini dijangka membolehkan guru menikmati kenaikan ketara pada Fasa 1 pelaksanaannya Disember ini.

“Ini memang memberikan kelegaan kepada guru…Guru juga adalah pengguna. Dalam Fasa 2 pelarasan gaji, kita akan melihat tambahan kenaikan selain daripada KGT.”

“Pelaksanaan secara berfasa ini adalah pendekatan yang wajar oleh kerajaan, dan tempoh untuk menikmati kenaikan gaji tersebut tidak terlalu lama,” katanya

Aminuddin, dalam pada itu berharap agar perincian yang lebih lengkap mengenai pelaksanaan sistem SSPA secara keseluruhannya dapat diberikan.

“Secara umumnya, kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pengumuman ini, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15% bagi pegawai kumpulan pelaksana dan kumpulan pengurusan serta profesional, serta 7% bagi pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.”

“Secara asasnya, kita baru dimaklumkan mengenai kenaikan gaji, tetapi perincian lengkap tentang sistem tersebut masih belum dikemukakan. Oleh itu, kami berharap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberikan penerangan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan dan manfaat SSPA kepada penjawat awam.”

Pada Jumaat, Anwar yang juga menteri kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, dan 7% kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.