Pantau mpox, KKM tingkat pengawasan di pintu masuk negara

Pantau mpox, KKM tingkat pengawasan di pintu masuk negara

Langkah ini diambil susulan pengisytiharan WHO bahawa mpox menjadi PHEIC untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.

klia-perlepasan
Semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan bagi tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan kegiatan pengawasan dan advokasi berkaitan mpox (cacar monyet) termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emnergency of International Concern – PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lepas.

Menurut KKM, mpox sebelum ini diisytiharkan sebagai PHEIC buat kali pertama pada 23 Julai 2022 dan berakhir pada 11 Mei 2023.

Semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan bagi tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit perlu agar segera menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran serta mengelak kontak dengan individu lain bagi mengekang penularan jangkitan.

Semua pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta juga perlu memberikan notifikasi kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan agar langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

Menurut KKM, pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan “Guidelines on mpox management in Malaysia 2023” di laman sesawang portal rasmi KKM .

Selain itu, langkah lain diambil adalah memastikan makmal bagi pengujian dan diagnostik bersedia serta mempertingkatkan aktiviti kesedaran mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko dengan kerjasama badan bukan kerajaan di lokasi yang dikenal pasti seperti spa dan sauna.

Buat masa ini, terdapat 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta.

KKM akan memastikan premis-premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran di samping memastikan tiada pekerja atau pelanggan di premis berkaitan mengalami gejala atau menunjukkan tanda mpox.

“Sekiranya terdapat pekerja atau pelanggan yang mempunyai gejala itu mereka perlu segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.

KKM akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital serta klinik swasta dalam pemantauan, pengesanan dan penjagaan klinikal kes mpox secara bersepadu.

Pengisytiharan kali kedua itu dibuat berdasarkan nasihat Jawatankuasa Kecemasan IHR dengan menekankan penularan strain mpox baharu iaitu clade 1b yang lebih pantas di Congo dan negara-negara jiranrantau Afrika.

Peningkatan kes di Congo amat ketara dengan lebih 15,600 kes dan 537 kematian dilaporkan pada 2024, melebihi jumlah tahun sebelumnya.

Selain itu, terdapat empat negara di Afrika Timur yang melaporkan kes mpox buat kali pertama, iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.