
Asyraf berkata, strategi kempen itu nyata berkesan berbanding ceramah mega yang menyaksikan kemenangan besar calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menewaskan calon PAS Rizwadi Ismail dengan majoriti 3,352 undi.
“Fokus kita untuk Mahkota adalah mendekati setiap pengundi, tidak lakukan ceramah umum dan ceramah mega. Strategi kita dekatkan diri dengan pengundi, tidak kira putih atau hitam, setiap pintu kita ketuk.
“Apa yang menariknya di Nenggiri kita adakan program dihadiri 30 hingga 40 orang di rumah pengundi PAS, mereka panggil keluarga mereka sendiri,” kata Asyraf ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, PRK Mahkota pada 28 Sept akan datang turut menyaksikan keterlibatan keseluruhan anggota jentera kerajaan perpaduan memandangkan demografi pengundinya yang bercampur antara pelbagai kaum.
“Mahkota lebih menarik, kita akan lihat keterlibatan seluruh jentera kerajaan perpaduan kerana demografinya menunjukkan sifat kemalaysiaan,” kata Asyraf lagi.
Mengulas mengenai Amanah Kluang yang menuntut kerusi itu, Asyraf berkata isu itu tidak berbangkit lagi kerana kepimpinan Pakatan Harapan (PH) sudah memberi kata putus untuk memberi laluan kepada BN.
“Sebenarnya tidak ada isu. Majlis pimpinan prinsipnya sama saling hormati kerusi penyandang, sama seperti Amanah bertanding di kerusi Pulai dan Simpang Jeram.
“Peringkat bawah itu biasa, ada pandangan, mendesak mahukan kerusi ditandingi mana mana parti, tetapi majlis pimpinan saling hormat menghormati. Simpang Jeram dan Pulai Umno turun seolah kami yang bertanding,” katanya.
Kerusi DUN Mahkota kosong luar jangka selepas penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zin, meninggal dunia pada 2 Ogos lepas akibat pendarahan dalaman.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK diadakan pada 28 Sept, dengan penamaan calon pada 14 Sept dan pengundian awal pada 24 Sept.