Budak Orang Asli ditemukan maut dalam paya disyaki dirogol, dibunuh

Budak Orang Asli ditemukan maut dalam paya disyaki dirogol, dibunuh

Bedah siasat mendapati ada kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluan mangsa, kata polis.

Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa telah ditahan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan meninggal dunia semalam di sebuah kawasan berpaya di Sungai Siput setelah hilang semalaman disyaki dirogol dan dibunuh, berdasarkan hasil bedah siasat.

Ketua Polis Sungai Siput Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata bedah siasat mendapati ada kecederaan akibat tekanan di bahagian leher serta kesan koyakan di kemaluannya.

Susulan itu, seorang suspek yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa telah ditahan, katanya.

“Seorang lelaki berusia 17 tahun yang mempunyai pertalian darah dengan mangsa ditahan polis sekitar 5.30 petang tadi bagi membantu siasatan,” katanya, lapor Berita Harian

Mohd Khaizam berkata kes itu kini diklasifikasi semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan, berkait kesalahan membunuh.

Terdahulu, Nuraina Humaira Rosli, 10, yang mempunyai masalah pendengaran, ditemukan meninggal dunia di kawasan berpaya berdekatan rumahnya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, Sungai Siput, kira-kira 4.20 petang semalam.

Mayat ditemukan hasil pencarian oleh kira-kira 60 orang membabitkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9) polis sejak 7 pagi.

Nuraina dilaporkan hilang pada Jumaat lepas apabila tidak pulang ke rumah selepas bermain di taman permainan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.