Pengundi Nenggiri pilih YB baharu hari ini

Pengundi Nenggiri pilih YB baharu hari ini

Tepat 8 pagi, sebanyak 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka untuk proses pengundian.

Seramai 20,216 pengundi akan keluar mengundi hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada PRK Nenggiri. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Seramai 20,216 pengundi akan menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu pada PRK Nenggiri.

Tepat 8 pagi, sebanyak 20 pusat mengundi dengan 46 saluran dibuka untuk proses pengundian dan ditutup secara berperingkat antara 2 dan 6 petang.

Empat pusat mengundi akan ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala SK Pulat dan Dewan Orang Ramai Pos Simpor ditutup pada 3 petang.

Pada 5 Ogos lepas, 43 kertas undi pos telah dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada pengundi yang berhak di Nenggiri termasuk kepada 14 anggota polis.

PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili kerajaan perpaduan dan Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Kedua-dua calon akan mengundi di pusat mengundi yang sama iaitu Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama.

PRK Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada PRN Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Ini ialah PRK kesembilan selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK Pelangai (Pahang); PRK Jepak (Sarawak); PRK Kemaman (Terengganu), PRK Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.