
Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pasti memberi ‘tonik semangat’ menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 minggu depan.
Katanya, disebabkan itu Presiden Zahid Hamidi sejak penamaan calon pada 3 Ogos lalu kerap berkempen di Nenggiri dalam misinya menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan simbol PAS.
Dianggarkan pengundi Melayu meliputi 86% daripada 20,259 pemilih DUN itu diikuti 14% Orang Asli, 0.2% Cina dan 0.1% India.
“Jika Umno menang kali ini, Zahid akan membawa kisah kemenangan itu dan memberitahu parti terbabit semakin pulih sehingga mampu kalahkan PN serta PAS di kawasan majoriti Melayu.

“Beliau kerap di Nenggiri kerana ada misi khas besar menangkan calon Umno dan politiknya sebagai presiden serta timbalan perdana menteri menjelang PAU,” kata Tawfik kepada FMT.
Berdasarkan keputusan PRK pasca PRU15, Umno menang di DUN Pelangai namun tewas di Parlimen Kemaman, tahun lalu yang kedua-duanya membabitkan pertembungan dengan PAS.
Azmawi berdepan Rizwadi Ismail pada PRK Nenggiri yang diadakan selepas DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong susulan penyandangnya Mohd Azizi Naim terlucut keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Tawfik berkata kempen BN dari rumah ke rumah mungkin memberi kelebihan kerana dapat menyampaikan terus mesej ingin dibawanya seperti janji menyelesaikan isu tanah serta kemudahan asas.
“Nenggiri tak sama dengan PRK lain kerana penduduknya hanya mahu tahu apa mereka boleh dapat bukan minta mereka fikir inti pati ceramah yang kerap dibuat PN.
“Walaupun PN ada manifesto tapi ada telah dibuat seperti cadangan lantik pegawai khas daripada masyarakat Orang Asli, BN sudah ada Ahli Parlimen Orang Asli (Ramli Mohd Nor) yang bekerja keras pada PRK ini,” katanya.
Namun, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berpandangan PN yang menawarkan manifesto mempunyai kelebihan kerana orang ramai mendapat gambaran jelas bentuk perkhidmatan sekiranya Rizwadi menjadi ‘Yang Berhormat’.
“Dua-dua ada kelebihan masing-masing, BN jadi kerajaan di pusat manakala PN pemerintah di Kelantan yang boleh menawarkan perkhidmatan jika menang,” katanya.
Sepanjang kempen bermula 3 Ogos lalu, isu pemilikan tanah peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) antara topik hangat diperdebatkan selain kekurangan kemudahan asas seperti air, elektrik dan mesin juruwang automatik (ATM).
Baru-baru ini, penduduk Nenggiri menikmati kemudahan ATM yang memudahkan mereka melakukan transaksi perbankan tanpa perlu ke bandar Gua Musang dan Dabong, terletak kira-kira 50km.