BN sudah putuskan calon, muka baharu tanding Mahkota

BN sudah putuskan calon, muka baharu tanding Mahkota

Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi berkata beliau akan membuat pengumuman selepas perbincangan mesyuarat seketariat kerajaan perpaduan minggu depan.

ZAHID HAMIDI
Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional akan menampilkan muka baharu sebagai calon pada PRK Mahkota yang berlangsung 28 Sept depan.
KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) sudah memutuskan calon yang akan bertanding pada PRK Mahkota akan datang, kata Zahid Hamidi.

Pengerusi BN berkata, parti itu akan mengetengahkan calon muka baharu untuk ditawarkan kepada pengundi.

“Saya akan umum bila tiba masanya. Kita akan berbincang dalam mesyuarat seketariat kerajaan perpaduan minggu depan.

“Calon muka baharu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Majlis International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pagi tadi.

Zahid turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa prinsip kerusi penyandang akan diambil kira dalam menentukan parti bertanding.

“Prinsip pertama di mana kerusi itu dipegang sesebuah parti maka formulanya parti itulah akan bertanding.

“Ini sangat dihormati parti komponen kerajaan perpaduan, ini asas akan kita gunakan bila kita letakkan calon di DUN Mahkota, di Johor,” kata timbalan perdana menteri.

Pada 5 Ogos, Amanah Kluang menuntut diberi laluan bertanding pada PRK itu yang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Zahid bagaimanapun menegaskan komponen itu akan bertanding dalam PRK berkenaan, sambil memberi amaran kepada pemimpin komponen kerajaan perpaduan tidak menuntut kerusi diperuntukkan kepada sesebuah parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Mahkota berlangsung pada 28 Sept dengan penamaan calon dijadual pada 14 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.