
Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 4.15 petang tadi di sebuah pangsapuri di Puncak Alam, menurut Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim.
Polis turut merampas senjata dan pakaian yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah tersebut, tambahnya.
“Suspek akan direman di Mahkamah Shah Alam pagi esok,” katanya, lapor Bernama.
“Polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes samun tersebut dengan tertangkapnya suspek.”
Kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda, atau sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kejadian seorang pekerja kedai aiskrim dicederakan dengan pisau pemotong kertas dalam satu cubaan samun.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira 11.30 pagi Isnin lepas, wanita berusia 21 tahun itu mengalami tiga kesan torehan pada bahagian badan.