Umno nyanyuk? Nur Jazlan minta Hadi ‘cermin diri’

Umno nyanyuk? Nur Jazlan minta Hadi ‘cermin diri’

Pemimpin Umno Nur Jazlan Mohamed berkata Hadi Awang perlu berundur sebagai presiden PAS untuk beri peluang orang muda tentu hala tuju parti.

Ahli MKT Umno Nur Jazlan Mohamed membidas kenyataan Presiden PAS Hadi Awang bahawa Umno sudah ‘nyanyuk’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno meminta Hadi Awang ‘cermin diri’ selepas presiden PAS itu mendakwa Umno sudah ‘nyanyuk’ kerana kerana melantik pemimpin secara suka hati.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed berkata, Hadi perlu ‘berundur’ bagi memberi laluan kepada muka baharu memimpin, menentukan hala tuju parti itu.

“Siapa yang sudah tua dan nyanyuk sebenarnya? Cermin muka, dan undur diri untuk bagi peluang kepada orang muda yang profesional dan bagus kesihatan untuk mengetuai PAS,” katanya kepada FMT.

“Pengundi di Malaysia sekarang majoriti orang muda yang mahukan pemimpin yang mempunyai masa depan untuk membela nasib mereka, bukannya orang yang hanya penuh retorik.”

Semalam, Hadi dalam ceramah kempen PRK Nenggiri menyifatkan Umno sudah ‘nyanyuk’, sambil menyeru ahlinya memilih calon Perikatan Nasional (PN) Ridzwadi Ismail yang ditentang Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN).

Dakwanya, ahli yang kekal dalam parti dihinggapi ‘penyakit tua’ itu hanya mereka yang ‘ada dalam Umno, namun tidak mengundi Umno’.

Sementara itu, seorang lagi ahli MKT Umno Razlan Rafii berkata label nyanyuk itu sepatutnya diberi kepada kerajaan PAS Kelantan yang didakwa gagal mengubah nasib rakyatnya walaupun lebih tiga dekad memerintah.

Menurutnya, mereka termasuk penduduk di Nenggiri yang masih berdepan masalah antaranya kekurangan kemudahan asas dan tiada sumber untuk meningkatkan pendapatan.

“Nyanyuk pemerintahan kerajaan negeri PAS sehingga tidak memikirkan kemudahan asas untuk rakyat mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.