
Berita Harian melaporkan Mohd Azzuan Ahmad, 39, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rohaida Ishak.
Dia didakwa cuba membunuh Nor Diyanah Ahmad, 32, sehingga menyebabkan mangsa cedera di tepi jalan dekat KM31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik antara 4 hingga 5 pagi 27 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Azzuan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menakutkan secara jenayah dengan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap isterinya dalam sebuah kereta ketika melalui Lebuhraya Utara Selatan menuju ke arah Kuala Kangsar pada malam 26 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Sept ini untuk lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan suspek membawa mangsa dari ibu kota ke Perak kira-kira 5.30 petang 26 Julai lalu atas alasan mahu pulang ke kampung, tetapi berlaku pertengkaran mulut antara mereka sepanjang perjalanan.
Mangsa yang dipukul, dicekik dan ditolak ke gaung sedalam 10m, berjaya merangkak ke bahu jalan sebelum dijumpai orang awam kira-kira 2 petang.