Ku Li ‘pujuk’ pengundi Nenggiri pilih calon bawa perubahan

Ku Li ‘pujuk’ pengundi Nenggiri pilih calon bawa perubahan

Veteran Umno berkata terpulang kepada pengundi memilih namun biarlah calon itu mampu bawa perubahan diinginkan.

Tengku Razaleigh Hamzah yang juga pengarah pilihan raya BN PRK Nenggiri, positif peluang parti itu merampas Nenggiri, esok. (Bernama pic)
GUA MUSANG:
Pengundi PRK Nenggiri perlu keluar beramai-ramai memilih esok, kata veteran Umno Tengku Razaleigh.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) PRK itu, berkata terpulang kepada pengundi memilih calon disukai, namun berharap biarlah wakil dipilih mampu membawa perubahan.

“Keluarlah mengundi tidak kira calon mana yang ingin dipilih, undi ini yang akan menentukan perubahan yang mereka mahukan,” kata ketika ditemui media sempena siri kempen PRK Nenggiri di Felda Perasu.

Tengku Razaleigh ataupun lebih dikenali Ku Li, yakin isu tempatan memberi kelebihan kepada BN di Nenggiri.

“Semestinya banyak perkara yang timbul menyentuh isu rakyat tempatan, jadi kita menumpukan sepenuh perhatian terhadap soal ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti, selain yakin BN tidak berdepan masalah di Nenggiri.

Katanya, laporan diterima menunjukkan mereka tidak berdepan dengan sebarang ‘masalah besar’ sepanjang kempen.

“Ini menandakan bahawa mereka (jentera) sudah melakukan pekerjaan dengan baik, malah ini memberikan harapan yang positif kepada parti,” katanya.

PRK DUN Nenggiri esok menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon PN, Rizwadi Ismail.

Seramai 20,259 pemilih layak mengundi di mana mengikut pecahan kaum – pengundi Melayu (17,636), Cina (36), India (lapan), dan (2,843 pengundi) bagi kategori kaum lain termasuk Orang Asli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.