
Adun Usukan itu berkata, rakyat berhak bertanya dan menyuarakan kebimbangan jika mendapati wujud percanggahan atau merasakan individu tidak berkelayakan mendapat manfaat daripada program berkenaan.
“Ketelusan ini penting untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan diperlukan,” katanya dalam catatan Facebook.
Bekas menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, ini susulan cadangannya di DUN Sabah tahun lalu supaya senarai penerima dipamerkan di peringkat kampung dan pejabat daerah.
“Pengawasan awam bukan sekadar keperluan, tetapi hak. Penting bagi kita untuk mengekalkan integriti sistem kebajikan sosial kita.”
Rabu lalu, Jabatan Ketua Menteri Sabah dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji untuk membasmi kes kemiskinan tegar baru didaftarkan dalam pangkalan data eKasih.
Menurutnya, sebanyak 4,634 isi rumah diklasifikasikan miskin tegar baru-baru ini dan Sekretariat Sabah Maju Jaya yang berada di bawah bidang kuasanya sedang memantau kumpulan itu.
Katanya, kumpulan itu akan ditangani di bawah fasa dua Program Pembasmian Kemiskinan Tegar.