‘Kawan’ LGE janjikan saya tanah, saksi beritahu mahkamah

‘Kawan’ LGE janjikan saya tanah, saksi beritahu mahkamah

Zarul Ahmad Zulkifli berkata tanah itu bayaran separa bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dasar laut.

Lim Guan Eng Zarul Ahmad Zulkifli
Zarul Ahmad Zulkifli beri keterangan dalam perbicaraan rasuah Lim Guan Eng di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Saksi perbicaraan rasuah berkait terowong dasar laut Pulau Pinang mendakwa ‘kawan’ Lim Guan Eng beritahu syarikatnya akan terima tanah sebagai bayaran separa untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan.

Zarul Ahmad Zulkifli beritahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau bertemu mendiang Ewe Swee Kheng pada 2013 selepas seorang kawan memperkenalkan mereka.

“Ketika itu, syarikat saya mengalami masalah kewangan selepas pemegang saham besar menarik diri. Saya terpaksa mencari sumber (dana) untuk kajian kebolehlaksanaan terowong itu,” katanya.

“Ewe kata dia pernah berjumpa Lim (sebelum itu) dan Lim beri jaminan syarikat saya (Zenith Construction Sdn Bhd) akan diberikan (pemilikan) Lot 702.”

Zarul juga mendakwa Ewe memberitahunya bahawa Lim berharap Ewe dapat membantu dalam perkara itu.

“Dia berjanji untuk membiayai saya (kajian kebolehlaksanaan) dan tahu bahawa saya akan menerima Lot 702,” katanya.

Zarul mengesahkan syarikatnya menerima RM79.8 juta sebagai bayaran separa untuk kajian kebolehlaksanaan itu, antara November 2013 dan Disember 2015.

Ewe meninggal dunia pada 6 Okt 2021 selepas dia terjatuh ke dalam kolam renang dari pangsapurinya.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian bertanya kepada Zarul mengenai perjanjian awal antara syarikatnya dan kerajaan negeri.

“Menurut syarat-syarat perjanjian, anda layak terima Lot 702 dan 713 selepas menyelesaikan keempat-empat kajian kebolehlaksanaan untuk terowong dasar laut itu dan tiga projek jalan raya?” soalnya.

Zarul bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu.

Apabila ditanya adakah hak milik kedua-dua tanah itu telah dipindahkan kepadanya, Zarul menjawab hanya sebahagian daripada Lot 713 telah dipindahkan.

Wan Shaharuddin: Tetapi anda belum menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan?

Zarul: Ya (kajian belum lengkap).

Sementara itu, Zarul beritahu mahkamah bahawa beliau ada ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ketika direman pada 2018 mengenai projek terowong itu, dan tentang ahli perniagaan, G Gnanaraja, tetapi dia diminta tumpu pada kes Gnanaraja terlebih dahulu.

Ditanya oleh peguam, Haijan Omar, mengapa kenyataannya tidak menyebut apa-apa tentang dakwaan penglibatan Lim dalam rasuah, Zarul berkata beliau ada memaklumkan kepada pegawai SPRM mengenainya, tetapi mereka tidak merekodkannya.

Perbicaraan akan bersambung pada 26 Ogos di hadapan Hakim Azura Alwi.

Lim berdepan pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul mendapatkan projek pembinaan.

Lim juga didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10% daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu.

Lim turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.