Gaji kakitangan awam naik 7 hingga 15%

Gaji kakitangan awam naik 7 hingga 15%

Kenaikan membabitkan kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional sebanyak 15% manakala pengurusan tertinggi 7%.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama kakitangan kerajaan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 di Putrajaya. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Penjawat awam menikmati kenaikan gaji antara 7 hingga 15% melalui pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Kenaikan membabitkan kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional sebanyak 15% manakala pengurusan tertinggi 7%.

Ketika mengumumkan berita gembira itu dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelarasan akan dilaksanakan secara berfasa mulai 1 Dis ini.

“Bagi kumpulan pelaksana, pengurusan dan profesional akan menerima kenaikan fasa 1 sebanyak 8%. Fasa 2 kumpulan itu akan menerima kenaikan 7% bermula 1 Jan 2026.

“Kumpulan pengurusan tertinggi, fasa 1 akan menerima kenaikan 4% bermula 1 Dis ini dan fasa 2 kenaikan 3% bermula 1 Jan 2026.

“Julat peningkatan pendapatan selepas pelarasan SSPA adalah 16.8% hingga 42.7%,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kali terakhir gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013 membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320.

Sementara itu, Anwar berkata penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

Katanya, bagi veteran tentera tidak berpencen Bantuan Sara Hidup (BSH) akan ditambah daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk yang layak.

“Pertimbangan ini dibuat bagi membantu meringankan beban kos sara hidup veteran tentera yang terlibat,” katanya.

Anwar berharap sektor swasta terutama syarikat mencatatkan keuntungan tinggi mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.

Beliau berkata, langkah itu sebagai simbolik menghargai produktiviti dan pengorbanan serta keringat tenaga pekerja syarikat masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.