
Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Irwan Abdullah, 44, dan pegawai penguat kuasa Zahari Muhammad, 34, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Anita Harun di Mahkamah Sesyen di sini.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa meminta rasuah bulanan sebanyak RM200,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis hiburan tanpa lesen itu Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersetuju menerima rasuah bulanan RM160,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis hiburan tidak berlesen itu, juga pada Februari lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Secara berasingan, Irwan didakwa menerima suapan RM130,000 daripada individu sama di sebuah restoran di Puchong pada 5 Jun lalu.
Dia berdepan hukuman penjara dan denda sama, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Shaharuzaman. Peguam Mak Kah Keong mewakili Irwan, dan Ahmad Faiz Munawar mewakili Zahari.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menyerahkan pasport mereka serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes itu selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 30 Sept ini.