
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata jumlah bayaran diperolehi selepas kaedah pembayaran “Payment Gateway” (FPX) diperkenalkan itu adalah sembilan kali ganda daripada kutipan hasil menerusi portal MySikap, iaitu lebih RM3 juta dalam tempoh sama.
“Kita mendapat reaksi positif daripada pengguna aplikasi MyJPJ apabila mereka memilih melakukan transaksi secara dalam talian, ini adalah kejayaan baharu kepada JPJ.
“Ini juga membuktikan rakyat sudah nampak kemudahan disediakan JPJ dalam memudahkan urusan mereka secara digital dan mengurangkan bilangan orang ke kaunter atau pejabat Pos untuk memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM),” katanya dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.
Aedy Fadly berkata, sehingga semalam, lebih 12.7 juta pengguna memuat turun aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan pada Februari 2023.
Menurutnya, antara transaksi dalam aplikasi MyJPJ termasuk semakan berkaitan pembaharuan dan pelesenan kenderaan serta pemandu, saman, pautan ke aplikasi bidaan nombor kenderaan (JPJeBid) serta aplikasi nombor giliran (JPJeQ).
Katanya, pengguna juga boleh membuat laporan aduan kesalahan trafik dan perkongsian LKM secara digital.
Bagi menambah baik aplikasi lebih setahun diperkenalkan itu, Aedy Fadly berkata, kerajaan menerusi JPJ akan memperkenalkan MyJPJ versi dua yang dijangka dapat disediakan kepada pengguna hujung tahun depan.
“Ketika ini, perancangan untuk tender baharu bagi MyJPJ versi kedua sudah siap, tetapi perlu disemak Jabatan Digital Negara (Kementerian Digital). Versi kedua ini nanti dapat menyelesaikan banyak isu (aduan) berkaitan pengguna aplikasi MyJPJ.”
Beliau berkata, sistem aplikasi MyJPJ yang dibangunkan pasukan teknologi digital dalaman JPJ turut berdepan serangan siber, namun pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan 24 jam, selain bekerjasama dengan Jabatan Digital Negara bagi mengatasi perkara itu.
Setakat ini, hanya sistem JPJeBid berdepan dua cubaan digodam baru-baru ini, tetapi ia berjaya dihalang.
“Dalam sistem MyJPJ tiada isu (serangan siber), hanya berlaku pada sistem JPJeBid…ia berlaku pada 30 minit terakhir apabila ada serangan untuk hentikan pengguna masuk ke dalam sistem sehingga tergendala (hang) yang menyebabkan nilai nombor pendaftaran dibida tidak tinggi.
“Kami berjaya atasi perkara itu dan sudah mempunyai pelan mitigasi melibatkan sistem JPJeBid. Kita sentiasa siap siaga menangani isu-isu melibatkan penggodam dan serangan siber ini,” katanya.