Mahkamah arah bekas pengarah urusan BNS dirujuk pakar psikiatri

Mahkamah arah bekas pengarah urusan BNS dirujuk pakar psikiatri

Mahkamah Sesyen mengeluarkan arahan itu bagi memastikan sama ada tertuduh, Ahmad Ramli Mohd Nor sesuai dibicarakan atau tidak bagi kes pecah amanah berkaitan projek LCS.

Bekas pengarah urusan BNS Ahmad Ramli Mohd Nor sebelum ini didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan kapal tempur pesisir.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) Ahmad Ramli Mohd Nor, dirujuk ke bahagian psikiatri di Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan mentalnya.

Hakim Suzana Hussin berkata Ramli, 80, perlu membuat pemeriksaan bagi mendapatkan laporan pakar psikiatri mengenai keadaan mentalnya, untuk memastikan sama ada tertuduh sesuai dibicarakan atau tidak, atas tiga pertuduhan pecah amanah dana syarikat itu berjumlah RM21.08 juta berkaitan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi perolehan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 28 Okt untuk mengetahui laporan daripada pakar psikiatri dan melapangkan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 Ogos ini,” katanya.

Prosiding dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan Mahadi Abdul Jumaat manakala peguam Mohd Yusof Zainal Abiden mewakili Ramli.

Pada 30 Julai, Suzana menetapkan hari ini untuk mahkamah membuat arahan berhubung keadaan mental terkini bagi memastikan sama ada bekas Panglima TLDM itu sesuai dibicarakan atau tidak, dan Ramli perlu hadir ke mahkamah untuk diberikan arahan lanjut berkenaan kesihatan mentalnya.

Pada 16 Ogos 2022, Ramli sebagai pengarah urusan BNS yang diamanahkan dengan penguasaan dana syarikat, didakwa melakukan pecah amanah terhadap harta terbabit dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited, Standard Chartered Bank, 6 Battery RD, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di tingkat 17, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan antara 26 Julai 2010 hingga 25 Mac 2011.

Beliau juga didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation, The Overseas-Chinese Banking Corporation Limited, Chulia Street, OCBC Centre, Singapura tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah BNS di lokasi sama antara 19 April 2011 dan 4 Mei 2011.

Bagi pertuduhan ketiga, Ramli berdepan dakwaan meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd, Standard Chartered Bank, 6 Battery Road, Singapura di tempat sama antara 28 Okt 2010 dan 22 Nov 2010.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, hukuman sebat tidak boleh dikenakan terhadap pesalah perempuan dan lelaki yang berusia lebih 50 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.