Kes Nidza Afham diklasifikasi mati mengejut

Kes Nidza Afham diklasifikasi mati mengejut

Polis berkata tiada kecederaan fizikal dikesan dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Muhammad Nidza Afham Mokhtar
Nidza Afham Mokhtar dilaporkan hilang sebelum mayatnya ditemui berhampiran jambatan Sungai Klang, semalam. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Polis mengklasifikasikan kes penyanyi serta Youtuber Nidza Afham Mokhtar, 23, yang mayatnya ditemui di Sungai Klang semalam, sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata tiada kecederaan fizikal dikesan sepanjang proses bedah siasat.

“Bedah siasat dijalankan pada 11 pagi sehingga 3 petang ke atas mayat Nidza Afham. Kami masih menunggu laporan siasatan makmal bagi mengenai pasti punca kematian.

“Siasatan diteruskan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, satu mayat lelaki dewasa ditemui berhampiran jambatan Sungai Klang, dengan berpakaian warna gelap bernombor 56, yang kemudiannya disahkan Nidza Afham.

Polis sebelum itu mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa yang keluar rumah pada 7.45 malam Rabu.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong dipetik sebagai berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang, menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-panggilan ke Stadium Sultan Suleiman, Klang, untuk berjoging.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.