Haizad Rizal ketua pegawai kewangan baharu LTAT

Haizad Rizal ketua pegawai kewangan baharu LTAT

Pelantikan bekas ketua pegawai kewangan KWAP itu berkuat kuasa hari ini.

Haizad Rizal
Haizad Rizal berpengalaman lebih 22 tahun dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri. (Gambar KWAP)
PETALING JAYA:
Haizad Rizal dilantik sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Eksekutif LTAT, Ashraf Radzi, berkata bekas CFO Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) itu berpengalaman lebih 22 tahun dalam pengurusan kewangan dan kepimpinan strategik merentasi pelbagai industri.

“Kepakaran Haizad akan memainkan peranan penting dalam membawa LTAT ke arah tadbir urus operasi berintegriti dan juga kemajuan berterusan,” katanya dalam kenyataan.

Haizad pernah memegang jawatan CFO Sime Darby Oils dan Kumpulan SME Bank dari 2016 hingga 2024.

Beliau memulakan kerjaya selama sedekad di Ireland dengan BDO Simpson Xavier, Daiwa Europe Fund Managers dan KPMG sebelum pulang ke Malaysia pada 2009 dan mengambil alih peranan kepimpinan termasuk ketua Laporan Statutori dan pengurusan kumpulan di RHB Bank Bhd, diikuti oleh ketua kewangan di RHB Islamic Bank.

“Pengalaman beliau yang luas telah dibuktikan melalui kelayakan akademiknya termasuk menjadi ahli bersekutu (FCA) dari Institute of Chartered Accountants Ireland.

“Beliau memiliki ijazah sarjana muda dengan kepujian dalam perakaunan dan kewangan dari Liverpool John Moores University dan menamatkan program pengurusan lanjutan dan kepimpinan di Said Business School, Universiti Oxford,” kata Ashraf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.