Bantuan subsidi diesel: Pengusaha angkut sawit disaran kemuka cadangan

Bantuan subsidi diesel: Pengusaha angkut sawit disaran kemuka cadangan

Pengusaha angkut buah kelapa sawit berkata bantuan RM200 sebulan tidak mencukupi susulan peningkatan perjalanan menghantar hasil pekebun ke kilang.

FMT melaporkan pengusaha trak pikap dan lori mengangkut buah kelapa sawit di Nenggiri menggesa kerajaan memperluaskan pemberian subsidi diesel. (Gambar X)
SHAH ALAM:
Pengusaha trak pikap dan lori mengangkut buah kelapa sawit di Nenggiri disaran mengemukakan cadangan memperluas pemberian subsidi diesel kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata cadangan yang berasas boleh dibawa ke jawatankuasa rayuan untuk dipertimbangkan.

“Salurannya sebaiknya adalah melalui kementerian-kementerian yang bertanggungjawab untuk dibawa bersama dalam perbincangan dan pertimbangan di peringkat jawatankuasa rayuan.

“Kita harapkan mereka dapat ajukan dan berunding dengan KPK untuk dapat berikan butiran berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia.

Terdahulu, FMT melaporkan pengusaha trak pikap dan lori mengangkut buah kelapa sawit di Nenggiri menggesa kerajaan memperluaskan pemberian subsidi diesel kepada kumpulan itu, yang ketika ini menikmati bantuan RM200 sebulan bawah Budi Madani.

Azlina Wahab dari Kampung Renok Baru berkata walaupun bantuan itu membantu menyerap kos pembelian diesel, ia tidak mencukupi susulan peningkatan perjalanan menghantar hasil pekebun kecil ke kilang.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menaikkan kos upah mengangkut buah kelapa sawit kepada RM250 bagi satu perjalanan berbanding RM150 sebelum ini.

SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan, dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel bawah harga runcit.

Mulai 10 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menerusi Budi Madani, kerajaan menyediakan bantuan RM200 sebulan melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani, dan pekebun kecil komoditi.

Sementara itu, Armizan berkata kementeriannya akan menjadi pemudah cara kepada mana-mana pasar raya sekiranya ingin membuka cawangan mereka di Sabah atau negeri-negeri lain.

Kementerian menganggap jika ada lebih banyak pasar raya dibuka di negeri tertentu, ia akan memberi pilihan kepada pengguna.

“Ini memberikan persaingan yang sihat.

“Sekiranya mereka boleh berikan tawaran baik, kita akan bantu sehabis baik untuk mudahkan proses mereka membuka cawangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.