Warga emas rentung dalam kebakaran

Warga emas rentung dalam kebakaran

Kejadian di Tanah Merah, Kelantan itu dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 70an sedang tidur.

Beberapa anggota bomba berusaha memadam kebakaran rumah dua tingkat milik mangsa yang ditemukan rentung di Taman Mas Merah, Tanah Merah pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Mas Merah, Tanah Merah, Kelantan, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman, berkata mayat lelaki berusia 70an itu ditemukan di bilik belakang tingkat bawah rumah berkenaan.

Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.59 pagi sebelum menghantar 13 pegawai dan anggota termasuk dari BBP Kemahang ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal dengan tingkat atas adalah berstruktur kayu.

“Difahamkan ketika kejadian, warga emas itu sedang tidur sebelum terperangkap dan rentung dalam kebakaran,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“Kemusnahan melibatkan 70% manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.