
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata polis percaya mereka masih bersembunyi di sekitar Selangor dan beberapa tangkapan akan dilakukan tidak lama lagi.
“Polis percaya anggota kumpulan ini bersenjata dan berada di sekitar Selangor,” katanya kepada Bernama.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, seorang lelaki yang mempunyai enam rekod jenayah samun maut selepas berbalas tembak dengan polis dalam kejadian di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dekat Kajang, Selangor.
Polis percaya lelaki itu adalah salah seorang anggota kumpulan yang terlibat dengan kejadian pada 17 Jun lepas yang menyaksikan empat lelaki menggunakan senjata api melakukan samun terhadap sebuah kedai emas Plaza Metro Kajang yang mengakibatkan kerugian RM3.2 juta.
Dalam kejadian di Plaza Metro itu suspek yang bersenjatakan dua pucuk pistol dan selaras senapang telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri ke arah tempat letak kenderaan di bahagian bawah bangunan.