
Jumlah berkenaan akan ditampung secara ansuran selama 30 tahun.
“Kos sebenar akan dimuktamadkan setelah selesai rundingan dengan pihak China dalam tempoh masa terdekat,” katanya pada sidang media.
Katanya, hampir 90% daripada 68 tren penumpang dikendalikan KTMB merupakan buatan China Railway dan Rolling Stock Corporations (CCRC), syarikat milik kerajaan China.
Loke berkata, kerajaan telah melabur berbilion ringgit dalam perkhidmatan landasan, namun kadar penggunaanya di Malaysia ketika ini hanya 30% sahaja.
Dalam pada itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, pelan menyeluruh sedang dirangka bagi memperkukuh pengangkutan awam di Malaysia dengan penekanan khusus untuk menambah baik kesalinghubungan di Lembah Klang.
“Kerajaan menyasarkan penambahbaikan di tiga bidang utama: perkhidmatan bas, jaringan landasan, dan ketersambungan ‘first mile’ dan ‘last mile’.”
Katanya, hentian bas di Kuala Lumpur akan dinaik taraf secara berfasa bermula tahun depan, termasuk penambahbaikan laluan pejalan kaki.
Rafizi berkata, bagi mencapai 80% kadar penggunaan landasan di Semenanjung menjelang 2030, kerajaan akan membangunkan pelan peningkatan penumpang perkhidmatan kereta api di seluruh Malaysia bermula 2024 hingga 2030.
Menurutnya, kerajaan juga merancang menambah tren penumpang di seluruh negara kepada 299.