
Beliau percaya, Maimunah mampu melaksanakan amanah itu berdasarkan pengalaman hampir empat dekad wanita berkenaan dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti tatkala mengetuai pelbagai institusi sama ada di dalam mahupun luar negara.
Anwar berkata, Maimunah pernah berkhidmat sebagai datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai selain menjadi presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (Mala).
“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai pengarah eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini.
“Moga pengalaman hebat dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandar raya ini ke peringkat lebih tinggi, insya-Allah,” katanya di Facebook.
Pelantikan Maimunah, 63, sebagai sebagai datuk bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa esok bagi menggantikan Kamarulzaman Mat Salleh, yang bersara wajib.
Terdahulu, perdana menteri menyerahkan surat pelantikan kepada Maimunah selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.