PAU 2024: Umno tak jemput pemimpin parti kerajaan perpaduan, kata Asyraf

PAU 2024: Umno tak jemput pemimpin parti kerajaan perpaduan, kata Asyraf

Asyraf Wajdi Dusuki berkata perhimpunan tahun ini beri ruang dan keutamaan keluarga besar Umno berbincang.

Tahun lalu, Anwar Ibrahim hadir selaku presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) Umno atas jemputan parti itu.
KUALA LUMPUR:
Umno tidak akan menjemput pimpinan tertinggi parti dari kerajaan perpaduan bagi menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU2024), menurut Setiausaha Agungnya Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata perkara itu telah dibincang dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan supaya PAU berlangsung 21 hingga 24 Ogos depan mengutamakan keluarga Umno terlebih dahulu.

“Tahun pertama kita buat jemputan. Insya-Allah mungkin tahun depan atau tahun sebelum PRU biasanya begitu jugalah (buat jemputan).

“Tahun ini kita beri ruang untuk keluarga besar Umno berbincang secara kekeluargaan,” katanya pada sidang media sempena PAU 2024.

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki.

Tahun lalu, Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan (PH) hadir ke PAU, 25 tahun selepas dipecat Umno.

Kali terakhir beliau di pentas sama ialah pada Jun 1998 selaku timbalan presiden Umno, sebelum dipecat tiga bulan kemudiannya.

Sementara itu, Asyraf menjangkakan usul berkaitan pertandingan jawatan presiden dan timbalan tidak akan dibahas pada persidangan itu memandangkan pemilihan Umno yang masih ‘jauh’.

“Saya rasa lambat lagi kita punya pemilihan, orang Umno ini selagi bukan tahun pemilihan tak membicarakan soal ini, hanya satu bahagian timbulkan,” katanya merujuk kepada usul dibuat Umno Tenggara, bulan lalu.

Berkaitan kerjasama Umno bersama parti lain pada PRN Sabah, Asyraf berkata ia juga tidak akan dibincang dan dibahas secara terbuka kerana membabitkan strategi politik.

“Biarlah secara tertutup dalam kepimpinan parti utama untuk berbincang dengan Umno Sabah, tak perlu diuar-uarkan.

“Perwakilan Sabah akan cakap banyak cakap kepentingan rakyat negeri itu daripada cakap politik kuasa, (soal PRN) lebih baik cakap belakang tabir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.