‘Mujur usia masih panjang’, Ku Li imbau helikopter hampir terhempas di Jeram Tekoh

‘Mujur usia masih panjang’, Ku Li imbau helikopter hampir terhempas di Jeram Tekoh

Tengku Razaleigh Hamzah berkata helikopter dinaiki bersama menteri besar Kelantan Mohamed Nasir hampir terhempas dalam kejadian 45 tahun lalu.

Tengku Razaleigh Hamzah bersyukur usianya masih panjang selepas terselamat dalam kejadian helikopter hampir terhempas di Jeram Tekoh.
GUA MUSANG:
Jeram Tekoh cukup dekat di hati veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mengingatkannya dengan kejadian helikopter dinaikinya hampir terhempas ketika dalam perjalanan merasmikan pembukaan tanah rancangan itu pada 1979.

Mengimbau semua detik cemas berkenaan, Razaleigh atau Ku Li yang ketika itu menteri kewangan menceritakan helikopter terbabit dinaikinya bersama bekas menteri besar Kelantan Mohamed Nasir dan mantan setiausaha politiknya Ibrahim Ahmad.

“Semasa hendak mendarat, ia tiba-tiba turun laju…mujur juruterbang helikopter itu bijak dan berjaya kawal dari terhempas langgar batang pokok kelapa, selepas dua kali pusingan baru boleh mendarat dengan selamat.

“Panjang umur tuhan beri boleh jumpa lagi dengan penduduk Jeram Tekoh hari ini, Alhamdulillah kalau tidak meninggal dunia dah saya,” katanya pada majlis pertemuan dengan veteran Umno Jeram Tekoh sempena kempen PRN Nenggiri.

Menyambung ceritanya, Razaleigh secara berseloroh mendedahkan kejadian terbabit rupanya berpunca daripada Ibrahim yang duduk di sebelahnya ketika itu.

“Setiausaha politik ambo terlelap dan kakinya tertekan pedal minyak helikopter, tiada siapa sedar…tiba-tiba sahaja helikopter berpusing turun dengan laju.

“Saya fikir waktu itu habislah (nak) mati dah, saya pandang Mohamed Nasir dan beliau pandang saya sambil cakap (umur) kita setakat ini sahaja, tapi nasib baik masih panjang usia,” katanya.

Razaleigh mewakili Parlimen Ulu Kelantan selama tiga penggal dan Parlimen Gua Musang selama lapan penggal sebelum tewas pada PRU15 kepada Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding atas tiket PAS sebelum mengalih sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Jeram Tekoh dibangunkan sebagai tanah rancangan untuk memberi peluang kepada masyarakat membangunkannya dengan tanaman getah dan sawit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.